Sunday, December 7, 2008

Malaysia usul semula penggunaan dinar emas

Malaysia usul semula penggunaan dinar emas

Oleh Zainab Mohd Yatim
Bhbiz@bharian.com.my

Kaedah perkukuh, pertingkat dagangan sesama anggota OIC

MALAYSIA akan mengusulkan semula cadangan penggunaan dinar emas dengan menjadikan pertemuan pemimpin dan pembuat keputusan dari kalangan negara Islam seperti mesyuarat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebagai platform.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata penggunaan kaedah pertukaran wang itu wajar dipertimbangkan semula memandangkan hubungan dagangan antara negara Islam yang semakin meningkat, selain mencari kaedah terbaik untuk menggantikan sistem Anglo Saxon yang semakin lemah dan tidak stabil akhir-akhir ini.

Memberikan contoh, beliau berkata nilai dagangan antara Malaysia dengan negara OIC yang membabitkan 57 negara, adalah 12 kali lebih banyak berbanding antara negara bukan anggota pertubuhan berkenaan.



"Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu yang mana pasaran wang dalam keadaan begitu getir, sengit dan mencabar, mungkin elok negara Islam seperti OIC melihat kembali peranan dinar emas sebagai kaedah memperkukuhkan dan mempertingkatkan dagangan sesama negara anggota.

"Sebelum ini saranan kita tidak begitu diterima negara OIC, tapi mungkin dalam keadaan yang berubah dan mencabar yang menyaksikan sistem kapitalisme Anglo-Saxon tidak tahan dan nampak kelemahan yang begitu banyak, kita boleh lihat kembali penggunaan dinar emas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wisma Yayasan Ekonomi Sejagat (YES), di Bukit Persekutuan, kelmarin.


Malaysia sebelum ini pernah mencadangkan supaya dinar emas digunakan sebagai perantara perdagangan antarabangsa bagi mengelakkan tekanan tukaran asing dengan dolar Amerika Syarikat sebagai tanda aras tukaran asing utama.

Nor Mohamed juga menjelaskan, bilangan umat Islam seramai 1.8 bilion di seluruh dunia juga sewajarnya dimanfaatkan menerusi dagangan antara sesama Islam dengan menjadikan dinar emas sebagai tukaran.

Tambahan lagi, katanya sebahagian besar daripada produk yang diedarkan di pasaran negara Islam yang dibeli dari Barat sebenarnya datang dari negara Islam.

Mengenai krisis ekonomi global, beliau berkata Malaysia tidak akan menerima kesan yang teruk hingga menyebabkan kemelesetan tahun depan, memandangkan kerajaan sudah mengambil langkah rangsangan yang mampu mengurangkan tekanan berkenaan.

Namun beliau tidak menolak, kemungkinan negara akan berdepan tempoh agak mencabar sekurang-kurangnya antara 18 bulan hingga dua tahun akan datang akibat daripada perkembangan berkenaan.

"Mengikut perkiraan, tiada kemungkinan negara akan terjerumus ke dalam kemelesetan pada 2009. Perkiraan kita berasaskan senario ekonomi sebenar dan juga berasaskan apa yang akan kita laksanakan.

"Kita mahu memastikan kebanyakan langkah berkenaan dilaksanakan menjelang suku tahun pertama," katanya.

Beliau yakin, seperti beberapa krisis yang dialami sebelum ini, negara bukan saja dapat meneruskan kelangsungan hidup, malah mampu bangkit menjadi sebuah negara yang lebih maju.

Mengenai inisiatif pembiayaan swasta (PFI), beliau menjelaskan, selagi sesuatu projek itu berdaya maju, kerajaan akan pastikan ia dilaksanakan dengan segera.