Saturday, April 25, 2009

Cari cara baru berniaga

Cari cara baru berniaga

Mohammad Ali Hashim

Kesan krisis dan kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2008 sesungguhnya sangat traumatik malah turut memberi kesan teruk di peringkat global apabila syarikat-syarikat korporat gergasi yang dilihat sangat kukuh dari segi reputasi dan jenama turut menerima kesan dan tempias yang nyata.

Dalam sistem ekonomi dunia yang dipacu oleh perniagaan, krisis korporat yang bermula dari kegagalan perniagaan di negara ekonomi terbesar seperti AS, sesungguhnya telah memberi kesan dan implikasi yang mendalam kepada semua pihak. Apatah lagi pada zaman yang serba canggih sekarang dengan keupayaan untuk berhubung melalui sistem rangkaian global yang serba kompleks. Berjuta orang di seluruh dunia menyaksikan sendiri kekayaan mereka hilang sekelip mata dan jatuh miskin berikutan kecairan pasaran saham dan nilai aset yang merudum.

Lebih membimbangkan implikasi dan kesan luar jangka yang lebih teruk akan berlaku termasuklah kehilangan pekerjaan berjuta-juta pekerja di seluruh dunia yang turut melumpuhkan golongan kelas pertengahan. Berjuta orang yang begitu mengagumi prinsip kapitalisme yang menjanjikan kekayaan dan kemakmuran yang melimpah ruah kini hanya termangu dengan kemiskinan, kehilangan dan putus harapan.

Nilai-nilai perniagaan yang dipelopori dan digunapakai oleh syarikat-syarikat korporat AS sebelum ini kini dipersalahkan dan bertanggungjawab terhadap krisis ini.

Kini terdapat terlalu banyak keburukan akibat daripada budaya korporat kapitalisme serta bagaimana perniagaan dijalankan di bawahnya. Malah ketika di kemuncaknya, sistem kapitalisme hanya akan menguntungkan beberapa pihak sahaja. Ia hanya membuai perasaan semua orang dengan harapan dan janji mengenai kekayaan yang belum pasti. Hakikatnya, ini akan hanya terjadi melalui proses yang sukar dan sementara.

Kapitalisme hanya menjanjikan kekayaan yang melimpah ruah kepada sekumpulan elitis yang kemudiannya menarik orang ramai untuk terikut-ikut dan kemudiannya terperangkap dengan budaya kehidupan material dan perbelanjaan mewah. Oleh itu mereka ini terperangkap dengan sistem yang membenarkan ketidakadilan pendapatan dan sistem ini menyalahkan mereka kerana terlalu bergantung dan kemudian mengasingkan mereka yang terpinggir akibat dari kemiskinan dan ketidakadilan.

Kini krisis ekonomi global telah menelanjangkan hakikat sebenar sistem kapitalis, oleh itu akan menjadi satu kesalahan jika masyarakat tidak melakukan sesuatu untuk merubah semua ini. Ia juga sesuatu yang sangat keji jika selepas dari krisis ini kita masih lagi membenarkan perlakuan sebegini berterusan dan terus diamalkan dengan membenarkan pemilikan kekayaan hanya untuk segelintir orang dan mengakibatkan mereka yang lain terus terjerumus dalam janji dan harapan palsu kapitalisme. Tidak sekali-kali!

Memang benar terdapat contoh ahli korporat dan mereka yang kaya-raya yang penuh dengan sifat dermawan dan baik hati seperti yang dilakukan oleh Bill Gates melalui yayasannya. Dan semestinya amalan dan prinsip tanggungjawab korporat yang digunapakai mereka dalam industri ini merupakan satu amalan yang mulia, tidak menunjuk-nunjuk dan tidak mempunyai agenda tersembunyi. Namun hakikatnya terlalu ramai mereka yang tidak beretika dan sanggup menolak nilai moral malah bertanggungjawab dari awal lagi dalam krisis ekonomi kapitalis sekarang yang semakin tidak keruan serta turut sama merosakkan keadaan politik dan sosial berbanding mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia seperti Bill Gates.

Pada dasarnya, nilai ini telah terpahat di dalam struktur dan institusi korporat sekali gus ia telah membentuk pemikiran, perlakuan dan pandangan yang perlu diikuti oleh masyarakat. Semua ini telah dibentuk oleh mereka yang telah menguasai dan mengawal sistem kapitalisme melalui penguasaan dunia korporat. Dalam keadaan krisis ekonomi sekarang yang musnah akibat ketamakan, sehingga kini masih belum terdapat sebarang mekanisme untuk mengawalselia kesan buruk yang semakin terhakis akibat dari sistem ini.


Tersebar

Oleh itu, kita kini melihat kanser korporat ini semakin tersebar di seluruh dunia dan telah mengakibatkan kesan tragik di Eropah seperti di United Kingdom, Perancis dan Jerman dimana beberapa ahli korporat berprofil tinggi mengambil keputusan untuk membunuh diri. Kes keracunan susu dengan penggunaan melamin di China, kes penipuan dan pengkhianatan syarikat Satyam di India serta skim K. Nami‘s Ponzi di Jepun merupakan bukti jelas mengenai kegagalan sistem nilai global yang digunapakai sekarang berasaskan ketamakan keterlaluan kapitalisme.

Memandangkan semua ini berasal dari Barat, ia boleh digelar sebagai satu penyakit “keracunan dari Barat” (westoxicating). Ia digelar sedemikian kerana ia telah menyebabkan rakyat terbanyak terikat dan terbelit dengan sistem ini. Penyakit ini dengan jelas sangat beracun (ingat kembali “aset toksik” dan “pinjaman toksik” yang telah menjadi punca runtuhnya sistem jual beli rumah di AS). Kesan akibat dari toksik ini menjadi bukti jelas bagaimana berjuta-juta mereka yang tidak terlibat hilang pekerjaan dan pendapatan serta jatuh miskin akibat dari krisis ini.

Sekiranya nilai ini tidak lagi sesuai dan jika nilai yang sama telah direka dan dibentuk oleh struktur korporat dan digunapakai di serata dunia, gejala westoxication tidak lagi boleh diambil mudah. Negara-negara dan syarikat-syarikat besar tidak mempunyai pilihan lain selain dari mencari dan menggunakan teknik perniagaan yang berbeza. Pembaharuan secara menyeluruh sektor korporat perlu dilakukan bagi menangani dan mengawal nilai etika dan moral sebagai jalan penyelesaian akibat kegagalan sistem sebelum ini.

Isu sekarang ini ialah, nilai yang mempengaruhi perdagangan global terutama berkaitan pemilikan mutlak di tangan ahli korporat terkaya yang menguasai hierarki tertinggi sesebuah perniagaan. Malangnya, penyanjungan AS terhadap prinsip individualistik dan kapitalisme (dog-eat-dog) telah menyebabkan ia diangkat sebagai model yang perlu diikuti untuk berjaya dalam perniagaan dan ekonomi. Oleh itu negara-negara lain yang terikut-ikut dengan istilah “Negara Bebas” terpaksa tunduk dengan keagungan prinsip Barat mengenai kapitalisme yang akhirnya menyebabkan lebih banyak kehancuran akibat westoxication.

Isu westoxication di negara Islam telah mengakibatkan pertelagahan besar mengenai nilai-nilai dalam masyarakat Islam sejak beratus tahun lamanya. Kini hampir keseluruhan negara-negara Islam telah mengguna pakai sistem kapitalisme Barat. Banyak negara Islam yang telah mengadaptasi sistem ini dengan pantas, kini berhadapan dengan masalah akibat sistem kapitalisme yang sangat bercanggah dengan nilai-nilai asas Islam, cara hidup dan batasan sosial.

Islam secara khususnya sangat menekankan tentang nilai kesamarataan dan keadilan sosial, nilai yang sangat bertentangan dengan sistem kapitalisme atau dilihat merendahkan martabat diri bagi penganut kapitalisme. Hakikatnya, sistem ini telah mengakibatkan kerosakan yang teruk, perbezaan kedudukan yang ketara dan penularan ketidakadilan sosial yang amat merbahaya jika semua ini digabungkan. Ia menjadi satu ledakan merbahaya apabila bergabung dengan pengamal sistem kapitalisme demi merebut sumber hasil, eksploitasi dan kawalan melampau, penguasaan korporat serta penjajahan ekonomi. Semua ini telah mendominasi dunia atas nama globalisasi, liberalisasi dan kebebasan.

Dalam konteks cabaran berat yang dihadapi mereka, adalah sangat penting bagi negara Islam untuk mencari semula maksud kapitalisme dalam konteks agama serta bersesuaian dengan nilai-nilai Islam. Oleh itu untuk menarik golongan pertengahan Islam daripada terpengaruh dengan golongan ekstremis Islam dan pengganas atau pihak yang ekstrem dengan sistem kapitalisme Barat, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain dari melancarkan sistem kapitalisme dan ekonomi berasaskan Islam.

“Kapitalisme Islam” merupakan satu gabungan yang bertentangan. Penjelasan maksud sebenar adalah diluar skop artikel ini. Cukup sekadar menyatakan kejayaan sebenar pembaharuan ekonomi berlandaskan perniagaan adalah dengan menguasai asas sistem pasaran yang kompetitif dan dinamik.

Pembaharuan

Di Malaysia, entiti korporat seperti, Johor Corporation, (JCorp), telah berjaya di dalam bidangnya. Ia merupakan satu syarikat perusahaan milik kerajaan yang mempunyai 250 anak syarikat, 54,000 pekerja dan mendahului di dalam beberapa perniagaan strategik. JCorp komited dalam menerajui pembaharuan perniagaan dan korporat bagi memenuhi kehendak dan piawaian Islam yang dilabel sebagai “Jihad Bisnes”.

Latar belakang dan pencapaian cemerlang JCorp dalam pertumbuhan dan perkembangan yang dinamik selama dua dekad merupakan pengiktirafan dan pengesahan awal dalam konsep kesesuaian praktikal jihad bisnes.

Perjalanan jihad bisnes JCorp termasuklah menyertai perusahaan-

perusahaan besar. Ini termasuk menerajui perusahaan penjagaan kesihatan bermula dari kosong pada awal 80-an kepada perniagaan bernilai jutaan ringgit yang melibatkan 600 perunding kanan dan pakar kesihatan sebagai rakan kongsi perniagaan.

Kejayaan terbesar dan penting bagi kumpulan JCorp adalah mengambilalih perusahaan makanan segera terbesar di Asia melibatkan 700 buah restoran KFC dan Pizza Hut di rantau ASEAN. Pengambilalihan ini berlaku pada tahun 2006-2007 dan berlanjutan selama setahun. Pengambilalihan yang berlandaskan pasaran ini telah menyebabkan satu peralihan yang ketara dalam pemilikan korporat di Malaysia.

Inisiatif sulung JCorp dalam jihad bisnes sememangnya belum pernah berlaku pada masa dahulu dan ia juga dianggap sebagai pembaharuan agenda korporat. Tujuan utamanya adalah untuk menyatukan nilai Islam di dalam amalan kapitalis korporat. Dalam kes JCorp, maksud ini dicapai melalui budaya korporat yang menyatukan “Amanah” melalui “Program Usahawan Dalaman”. Ia juga diperjelaskan dengan inisiatif tambahan untuk bertukar menjadi satu institusi “wakaf” korporat.

Wakaf merupakan institusi pembiayaan Islam terawal yang telah dilaksanakan sebelum program tanggungjawab sosial korporat atau “Corporat Social Responsibility” (CSR) digunapakai sekarang. Semasa zaman kegemilangan Islam, golongan yang kaya memainkan peranan yang kritikal dalam membantu menyediakan jaringan keselamatan sosial terhadap rakyat terbanyak, dengan dana yang diperoleh hasil daripada derma dan semangat bantu-membantu seperti yang diterjemahkan oleh Islam.

Ternyata, agenda pembaharuan korporat yang tidak mementingkan diri, mengambil berat dan menitik beratkan kesamarataan adalah sangat diperlukan untuk meringankan beban westoxicating yang disebabkan oleh krisis kapitalisme serta telah menyebabkan ketakutan, trauma dan tekanan kepada berjuta penduduk di seluruh dunia. Agenda ini perlu dikenalpasti, didorong dan diinstitusikan oleh sektor korporat sendiri dengan diterajui oleh syarikat-syarikat besar.

Misi jihad bisnes disertai dengan wakaf yang efektif dan penstrukturan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Islam yang disemai dalam sistem korporat dan diinstitusikan sepenuhnya dalam amalan korporat adalah satu amalan yang murni terutamanya bagi perniagaan yang beroperasi di dalam ekonomi dan suasana sosial Islam. Bukti kredibiliti dan kesahihan jihad bisnes telah berjaya dimana JCorp telah mendapat keuntungan yang berganda setelah lebih 2 dekad mengamalkannya.

Inisiatif jihad bisnes dan wakaf korporat walaupun masih lagi baru di Malaysia, merupakan antara pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh syarikat-syarikat yang dikuasai oleh orang Islam yang ingin menyertai agenda pembaharuan kapitalisme. Lebih penting lagi kesahihan ini berdasarkan fakta bahawa pemilikan sesebuah syarikat itu bukan berdasarkan kepada individu, keluarga atau ditangan pihak swasta tetapi diinstitusikan melalui wakaf.

Impak daripada kesungguhan menguruskan syarikat yang tidak dimiliki sesiapa tidak boleh dipandang ringan. Lebih-lebih lagi potensi dan kemampuan syarikat sebegini untuk menyumbang ke arah keadilan sosial dan kesamarataan dalam jangka panjang tidak boleh diperkecilkan. Sesungguhnya semua ini boleh menjadi kenyataan dan dicapai sekiranya prestasi syarikat tidak menjadi pertaruhan dan mainan sekali gus menjadikan jihad bisnes dan wakaf korporat satu elemen yang sukar dikesampingkan terutama sebagai tindak balas strategik untuk syarikat dan masyarakat membebaskan diri dari cengkaman dan kelemahan sistem kapitalisme Barat.

Tan Sri Mohammad Ali

Hashim ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Corporation. www.businessjihad.com.

No comments: