Jadikah kereta orang Islam?
SEKITAR hujung tahun lalu, dunia permotoran global gempar dengan berita kononnya tiga negara Islam iaitu Iran, Turki dan Malaysia sedang membuat perancangan untuk mengeluarkan kereta orang Islam untuk pasaran global.
Selepas tersebarnya berita itu, wakil ketiga-tiga negara Islam itu khabarnya kerap mengadakan pertemuan sekitar hujung tahun lalu bagi mengadakan perbincangan lanjut dan lebih terperinci mengenai cadangan berkenaan.
Selain Iran, Turki dan Malaysia, banyak negara Islam lain termasuk Arab Saudi, Syria, Mesir dan Pakistan turut menunjukkan minat yang tinggi terhadap projek itu.
Idea asal mengeluarkan kereta orang Islam itu kononnya dicetuskan oleh saudagar Islam iaitu Pengarah Urusan Iran Khodro, Manouchehr Manteghi yang mentadbir firma pengeluar kereta terbesar di kalangan negara Islam.
Iran Khodro yang menduduki tangga ke-24 di antara 100 syarikat Islam paling berjaya di dunia pada tahun 2006 diuar-uarkan mahu menjadikan firma pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) sebagai pengilang utama kereta bercirikan agama itu.
Proton dikatakan menunjukkan minat mendalam terhadap cadangan itu dan telah menjalankan kajian terperinci mengenainya di samping akan menjalankan ujian teknikal ke atas kereta yang dicadangkan itu.
Pengenalan kereta tersebut dipercayai mampu memenuhi kehendak lebih 1.8 bilion penganut agama Islam di seluruh dunia atau lebih 22 peratus daripada populasi dunia yang menjadi antara kumpulan pengguna kenderaan beroda empat terbesar di dunia.
Berkembang
Negara yang mempunyai paling ramai penduduk beragama Islam di dunia pada masa sekarang ialah Indonesia dan diikuti oleh Pakistan, India serta Bangladesh dan Islam adalah agama yang paling cepat berkembang dibandingkan dengan semua agama lain di dunia ini.
Antara ciri-ciri berunsurkan Islam yang diterapkan dalam proses pembuatan kereta tersebut ialah kompas yang sentiasa menunjukkan arah kiblat, ruang simpanan besar untuk mengisi al-Quran serta barang-barang lain seperti tasbih, tudung dan kupiah.
Pada masa yang sama, sistem audio kereta itu akan direka khas bagi mengalunkan lima kali azan setiap kali tiba waktu sembahyang dengan keupayaan untuk menghentikan semua lagu atau siaran radio yang sedang berkumandang ketika tiba waktu sembahyang.
Jika kesemua 57 ahli dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) meluluskan cadangan tersebut, bayangkan betapa besar pasaran untuk model kereta tersebut yang dijangka mula ditawarkan pada tahun 2011 walaupun ada sesetengah orang Islam yang lebih gemarkan kereta buatan negara lain seperti Jerman dan Jepun.
Walau bagaimanapun, dengan tawaran harga serendah 8,000 euro sebuah atau RM40,520 sebuah dan dijangka mendapat sambutan hangat di beberapa pasaran antaranya rantau Timur Tengah, Asia Tenggara dan Afrika, pastinya kereta itu menjadi fenomena kepada pengguna kereta.
Tentunya kereta yang bersaiz sederhana dengan kemampuan enjin di bawah 2.0 liter ini mendapat sambutan menggalakkan seperti kereta-kereta berjenama lain dalam kelas yang sama.
Sementara itu, Proton dalam kenyataan segera mengenai rancangan mengeluarkan kereta Islam menerusi kerjasama dengan Iran dan Turki itu memberitahu, pihaknya menerima pelbagai maklum balas, positif dan negatif mengenai cadangan tersebut.
“Yang negatif dipercayai ekoran kesilapan dalam membuat tafsiran tentang konsep dan kurang pemahaman atau tidak jelas mengenai kewajaran di sebalik cadangan tersebut,” kata syarikat kebanggaan negara itu lagi.
Tambah Proton lagi, apa yang lebih penting ialah rancangan itu memperlihatkan kerjasama antara Malaysia dan rakan niaga bidang automotif dari Iran dan Turki bagi meningkatkan keupayaan dan kekuatan teknologi masing-masing.
Ketiga-tiga negara saling bantu-membantu untuk mencapai matlamat mengeluarkan kereta yang dikehendaki dalam pasaran bersama.
Ia juga memungkinkan satu lagi kejayaan aktiviti ekonomi di kalangan negara Islam seperti yang telah dicapai menerusi sistem perbankan Islam antara negara-negara terbabit.
Selain itu, ia menjadi contoh dalam kemajuan teknologi automotif yang menampakkan bahawa negara-negara Islam juga mampu mengeluarkan kereta yang baik untuk pasaran disasarkan, jelasnya.
Apa yang pasti ia bukan setakat kereta yang ada kompas, bacaan kiblat dan ruang untuk meletakkan al-Quran atau skaf, ujar firma itu.
Sunday, June 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment