Exim Bank rancang tambah produk perbankan Islam
EXPORT-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) akan memperkenalkan beberapa lagi produk perbankan Islam tahun depan sejajar usahanya memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari pasaran Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pengarah Urusannya Mohd Fauzi Rahmat, berkata antara produk itu ialah berkaitan takaful.
“Kami merancang memperkenalkan produk takaful tahun depan bagi memenuhi permintaan bagi produk sedemikian,” katanya pada satu seminar di Kuala Lumpur, minggu lalu.
Seminar dihadiri 500 peserta terdiri daripada usahawan tempatan itu dianjurkan untuk memperkenalkan kepada peng-eksport mengenai pelbagai skim pembiayaan untuk mempromosikan produk Malaysia ke pasaran OIC.
Seminar yang dianjurkannya dengan Perbadanan Pembiayaan Perdagangan Islam Antarabangsa (ITFC), anak syarikat Bank Pembangunan Islam (IDB) itu dirasmikan Timbalan Gabenor, Datuk Zamani Abdul Ghani.
Mohd Fauzi berkata, dalam suku pertama tahun ini, Exim Bank sudah memperkenalkan beberapa produk perbankan Islam bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari pasaran OIC menerusi inisiatif bersama ITFC.
Katanya, ini termasuk IDB-Co Financing, iaitu skim yang menyediakan jaminan pembayaran dengan kedua-dua institusi pembiayaan itu berkongsi risiko jika pengimport atau peminjam tidak membuat bayaran.
Skim itu, katanya cuba menangani kebimbangan bank komersial dan pengeksport jika tidak mendapat bayaran daripada bank yang beroperasi di negara OIC yang merangkumi 81 negara dari di lima benua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment