Monday, July 27, 2009

IDB anjur kursus kewangan Islam

IDB anjur kursus kewangan Islam

BANK Pembangunan Islam (IDB) dan Bank Negara Malaysia menganjurkan kursus lima hari bermula semalam mengenai asas-asas kewangan Islam.

Kursus itu adalah satu lagi usaha menjayakan program pembangunan kapasiti bagi meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam kewangan Islam di kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kata Bank Negara dalam kenyataannya.

Dirasmikan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kursus itu dihadiri peserta dari 25 negara anggota OIC selain peserta dari Jerman dan Switzerland.

bank pusat itu menjelaskan, kursus dan sesi perbincangan itu berperanan sebagai platfrom pembelajaran untuk pegawai bank pusat, pegawai Kementerian Kewangan dan pengawal aturan industri sekuriti dalam meningkatkan pengetahuan dan kepakaran mereka mengenai kewangan Islam.

Tajuk dibincangkan termasuk operasi dan kapasiti institusi kewangan Islam, dan kerangka kerja pengawal aturan dan Syariah bagi pelaksanaan berkesan sistem kewangan Islam yang berdaya tahan.

Peserta, katanya berpeluang membincangkan isu kontemporari bersama pengamal industri mengenai perkembangan kewangan Islam global.

"Kursus itu juga menawarkan peluang untuk menjalin rantaian pintar di kalangan pegawai bank pusat dan pembuat dasar untuk bertukar-tukar pandangan dan peranan industri perkhidmatan kewangan Islam dalam persekitaran pasaran kewangan yang sangat mencabar ketika ini,” katanya.

Penceramah dan ahli panel terdiri daripada pegawai institusi seperti Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dan Bank Islam dan Institusi Kewangan Malaysia.

No comments: