Monday, July 21, 2008

Sektor halal cabaran sengit usahawan bukan Bumiputera

ARKIB : 19/07/2008
Sektor halal cabaran sengit usahawan bukan Bumiputera
KUALA LUMPUR 18 Julai - Industri makanan halal mungkin disangka ramai sebagai satu sektor yang dikuasai dengan mudah dan sepenuhnya oleh usahawan Bumiputera Islam.

Namun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noharuddin Nordin, sektor itu juga sebenarnya tidak terlepas daripada saingan hebat usahawan bukan Bumiputera pada masa kini.

"Ambil contoh sektor halal yang mempamerkan penglibatan tinggi daripada usahawan bumiputera Islam yang sepatutnya mempunyai kelebihan dalam sektor itu.

"Hakikatnya, sebarang kelebihan pada Bumiputera dalam sektor ini dicabar hebat syarikat-syarikat bukan Bumiputera tempatan dan syarikat-syarikat asing, mesejnya jelas, tiada faktor yang boleh memberi kelebihan atau keistimewaan untuk Bumiputera selama-lamanya," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja yang dibentangkan pada Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 - Melonjakkan Ekonomi Bumiputera di sini hari ini.

Tambah Noharuddin, contoh saingan dalam sektor makanan halal itu mencerminkan bahawa tiada jalan singkat untuk merapatkan jurang antara usahawan Bumiputera dengan bukan bumiputera melainkan kerja keras dan usaha gigih.

Beliau menambah, tidak ada satu sektor perniagaan pun yang memberikan kelebihan kepada usahawan Bumiputera untuk berada di hadapan tanpa dicabar usahawan bukan Bumiputera.

Katanya, usahawan bumiputera perlu bergerak dua langkah bagi merapatkan jurang dan mengelakkan dari tercicir terutama dalam suasana ekonomi yang bergolak dengan pesat kini.

"Dunia tidak bersimpati atau menunggu kaum Bumiputera," katanya.

Namun kata beliau, pihaknya juga telah melihat ramai usahawan Bumiputera yang benar-benar berkaliber dan mampu bersaing di pentas tempatan dan antarabangsa.

"Usahawan Bumiputera tidak perlu segan menonjolkan kebolehan mereka, kerajaan sedang membantu usahawan Bumiputera memanjangkan langkah mereka tetapi langkah itu perlu diambil usahawan sendiri," katanya.

No comments: