Transformasi lonjak hak Melayu Islam
Oleh Dr Abd Malek Awang Kechil
UMAT Melayu di rantau ini mengalami transformasi besar sejak kehadiran Islam. Orang Melayu menerima Islam sebagai agama serta pegangan hidup dan umat Melayu sudah melalui perubahan menyeluruh hingga wujud kajian merumuskan Melayu dan Islam tidak mungkin dipisahkan.
Demikianlah betapa bermaknanya Islam bagi orang Melayu, segala ada pada Melayu adalah sumbangan Islam sama ada dari segi agamanya, kebudayaannya dan bahasanya (Siddiq Fadzil, 2009).
Orang Melayu kini disifatkan hampir tidak lagi mempunyai apa-apa keistimewaan dan kelebihan tanpa Islam. Menurut Siddiq, pemisahan Melayu dan Islam akan mengakibatkan kehancuran kepada bangsa ini seperti peringatan yang terungkap dalam kata amaran ‘Umar al-Khattab, ‘‘Kita dahulunya adalah sehina-hina manusia, lalu Allah muliakan kita dengan Islam, andainya (selepas ini) kita mencari kemuliaan selain Islam nescaya Allah akan menjadikan kita hina kembali ”.
Selepas kehadiran Islam, umat Islam di rantau ini ternyata melalui transformasi yang menyeluruh dari pelbagai aspek kehidupan sama ada akidah, syariah dan akhlak. Khusus dari aspek muamalat sama ada membabitkan siasah (pemerintahan), tijari (ekonomi dan perniagaan), mahupun Ijtimaiy (kemasyarakatan), kehebatan terlihat daripada transformasi berlaku amat ketara.
Dalam konteks Malaysia (dengan daerah induknya Semenanjung Tanah Melayu), setelah melalui proses transformasi Melayu-Islam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Melaka adalah sebuah pusat perdagangan yang terletak di tengah kesibukan lalu lintas perdagangan Jalur Laut Timur-Barat.
Atas dasar itu, adalah wajar untuk kita terus meneliti dan mengkaji rahsia pelbagai aspek umat Melayu sesudah Islam dengan aspek Pentadbiran negara dan ekonomi yang terlihat dari segi undang-undang yang diperkenalkan, di samping rahsia di sebalik penggunaan Istilah penting pada zaman itu.
Dari segi pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka di antara transformasi yang berlaku berkaitan dengan ekonomi khususnya berhubung transaksi jual beli dan larangan terhadap riba, dapat dilihat daripada pengakuan pengkaji Barat, Peter Boomgaard, dilihat amat sinis terhadap Islam, bagaimanapun, beliau tidak dapat menyembunyikan fakta yang memperakukan betapa pengaruh Islam terhadap umat Melayu seperti kenyataan beliau dalam buku ‘Credit and Debt in Indonesia, 1860-1930’ (2009).
Kegemilangan umat Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka sejak kehadiran Islam bagaimanapun terpaksa mengalami zaman suram berabad lamanya, dengan kedatangan penjajah Barat ternyata berupaya merencatkan perkembangan hebat umat ini hampir dari semua aspek. Dari sudut politik, penjajah Inggeris berjaya melaksanakan strategi pecah dan perintah. Pemikiran umat berjaya dipesongkan, dengan memperkenalkan konsep pemisahan antara agama dan kehidupan (sekularisme) melalui sistem pendidikan diperkenalkan, sementara dari aspek ekonomi, mereka berjaya meminggirkan umat Melayu (Islam) kepada kegiatan ekonomi dipercayai tidak mempunyai nilai ekonomi tinggi, hingga ada umat ini yang terpaksa menjadi hamba di tanah air sendiri.
Walaupun penjajah tidak berupaya mencabut Islam daripada umat Melayu, namun kesan penjajahan yang begitu lama, umat Melayu (Islam) seumpama baru dilahirkan semula sewaktu Malaysia (Tanah Melayu pada masa itu) mencapai kemerdekaan. Kesan hebat daripada penjajahan terhadap umat ini, umat Melayu (Islam) ketika itu telah kehilangan segala-galanya, kecuali pegangan asas terhadap agama dan keupayaan umat ini berada pada tahap yang paling minimum.
Umat ini ditinggalkan dengan masalah tidak sedikit, dengan celaru pemikiran, buta huruf, kemunduran dan kemiskinan serta sistem dualisme termasuk sistem ekonomi kapitalis ditinggalkannya, menjadi tanda aras tinggalan penjajah ini.
Bagaimanapun, berasaskan hikmah pemimpin sewaktu memperjuang dan mencapai kemerdekaan Negara (Malaysia), segala-galanya dapat digerakkan semula, walaupun terpaksa bertolak daripada tahap penguasaan ekonomi dan sosio- ekonomi ummah yang berada pada tahap paling minimum.
Atas dasar itulah mungkin relevannya istilah transformasi digunakan dalam konteks ini bagi menggambarkan betapa umat Islam kini perlukan suatu lonjakan baru hebat bagi menutupi kehilangan hak milik umat ini di sepanjang penjajahan berlangsung seterusnya berupaya membina kekuatan baru walaupun terpaksa pula mengharungi cabaran semasa yang menuntut komitmen berganda.
Penulis ialah Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang menyampaikan ucap dasar bertajuk “Transformasi Ummah: Suatu Sorotan Sejarah dan Kesan Penjajahan”, pada Muzakarah Ulama Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura (MABINS)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment