Tuesday, October 6, 2009

1rantau 1dunia - PM

Tuesday, October 6, 2009
1rantau 1dunia - PM

1rantau 1dunia - PM


Najib Tun Razak menyampaikan ucaptama pada persidangan agung UNESCO di paris, semalam. -BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



PARIS 6 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini 'menjual' gagasan 1Malaysia kepada dunia yang beliau percaya merupakan satu formula paling jitu untuk mengekal dan menjamin keamanan sejagat pada masa ini dan akan datang.

Berucap pada Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-35 di sini, Perdana Menteri menegaskan, kesanggupan dan komitmen untuk menentukan keamanan sejagat merupakan antara tiga cabaran utama yang perlu didepani masyarakat antarabangsa hari ini.

Dua lagi cabaran berkenaan berkaitan usaha untuk membentuk sistem kewangan global yang baru serta menangani perubahan cuaca yang mengancam dunia ketika ini.

Di pentas persidangan yang menyaksikan penampilan pertama seorang pemimpin Malaysia dalam tempoh 50 tahun diberi penghormatan menyampaikan ucaptama, beliau berkata, gagasan 1Malaysia yang diyakini mampu mencapai matlamat '1impian, 1negara,1bangsa' boleh diangkat kepada pelaksanaan konsep 1Rantau, seterusnya 1Dunia.

''Pilihan kita bukanlah bersifat unilateral sebaliknya masa depan kita memerlukan kerjasama global yang lebih imaginatif dan dengan penyertaan sejagat.

''Kerana itu, Malaysia sanggup memainkan peranan dalam mengadakan dialog antara budaya. Struktur geografi dan legasi peninggalan sejarah telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan strategik untuk menjadi jambatan di antara budaya-budaya besar dunia," katanya dalam ucapan selama 17 minit itu.

Hadir sama pada persidangan pertubuhan yang disertai 191 negara itu ialah Ketua Pengarah UNESCO yang baru, Irina Bokova dan bekas penyandangnya, Koichiro Matsuura.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri menegaskan, keamanan hakiki hanya boleh dicapai melalui dialog dan bukannya dengan paksaan melalui kuasa hegemoni.

Beliau turut menarik perhatian mengenai ungkapan Profesor Hans Kung, seorang ahli falsafah teologi Jerman bahawa 'tidak akan ada keamanan di dunia ini jika tiada keharmonian di kalangan agama dan budaya dan juga tiada keharmonian antara agama, jika tiada dialog di kalangannya'.

''Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran kami sejak April lalu sememangnya berasaskan kepada kepercayaan dan sifat hormat-menghormati antara kaum.

''Sebenarnya bagi Malaysia dialog antara budaya ini adalah perkara yang berlaku sehari-harian. ''Kami hidup dalam suasana toleransi dan kemajmukan sedia ada telah tersemat dalam pemikiran (rakyat) untuk terus mengekalkan kestabilan dan mengelak punca yang boleh mengundang konflik," katanya.

Najib berkata, cabaran untuk membentuk sistem kewangan global yang baru pula dibangkitkan beliau setelah mengambil kira pengalaman 50 tahun lepas yang menyaksikan pasaran ekonomi yang tidak konsisten akibat dari perancangan sistem yang lemah.

''(Justeru) adalah penting untuk membentuk sistem kewangan global yang boleh menentukan pengagihan pendapatan yang lebih adil serta mempunyai mekanisma bagi menangani lambakan dan amalan manipulasi," kata beliau.

Mengenai cabaran untuk menangani perubahan cuaca, Perdana Menteri menyarankan supaya Sidang Kemuncak Perubahan Iklim yang akan diadakan di Copenhagen, Denmark tidak lama lagi mengambil langkah-langkah tegas untuk mengekang fenomena itu yang kini mengakibatkan bencana besar.

''Ketika saya berucap ini, rantau saya mengalami bencana alam dan malapetaka seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, Tsunami di Barat Samoa, taufan di Filipina dan banjir besar di selatan India.

''Oleh itu saya harapkan persidangan di Copenhagen nanti dapat mencerminkan komitmen sejagat dalam usaha menangani perubahan iklim, ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul bersama-sama," katanya.

Najib yang tiba di sini Ahad lalu dalam rangka lawatan rasmi empat hari akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Presiden Nicolas Sarkozy esok.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau di luar Asia sejak mengambil alih pentadbiran negara April lalu. - UTUSAN

No comments: