Bai Bithaman Ajil beban peminjam
Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my
AHMED KAMEEL (kanan) sambil disaksikan Mohamed Idris mendedahkan pembiayaan rumah Bai Bithamin Ajil yang membebankan peminjam daripada pembiayaan konvensional pada sidang media Persatuan Pengguna Pulau Pinang, semalam.
BNM perlu cari alternatif elak pengguna rugi
GEORGETOWN: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mencari alternatif terbaik bagi melindungi pelanggan pembiayaan rumah Bai Bithaman Ajil (BBA) yang gagal membayar pinjaman.
Dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ahmed Kameel Mydin Meera, berkata BNM perlu bertindak supaya orang ramai yang meletakkan kepercayaan kepada sistem itu tidak mengalami kerugian.
Ketika ini, peminjam yang gagal membayar balik pinjaman melalui pembiayaan BBA akan berakhir dengan beban yang lebih teruk berbanding pinjaman perumahan konvensional.
Beliau memberi contoh kes seorang peminjam yang membeli sebuah kondominium yang sedang dalam pembinaan berharga RM249,000 tetapi melalui perjanjian BBA bank berkenaan menjual kepadanya dengan harga RM744,766.
Malangnya, projek itu terbengkalai tetapi bank sudah membayar RM9,543 kepada pemaju. Bebanan itu kini terletak di bahu peminjam yang perlu membayar balik RM505,368.
"Peminjam itu menawarkan untuk membayar balik kepada bank sebanyak RM10,000 tetapi bank menuntut sebanyak RM505,368," katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden CAP, SM Mohamed Idris.
BBA adalah pembiayaan yang mana pengguna menjual harta yang ingin dibeli kepada bank sebelum bank menjual semula kepadanya dengan harga yang lebih tinggi.
Kebanyakan bank yang menyedari masalah itu, menukar semula pembiayaan itu kepada konsep Musharakah Mutanaqisah yang memberi kelebihan kepada peminjam yang gagal supaya tidak berakhir dengan jumlah hutang yang tinggi.
Ahmed Kameel berkata, jumlah pembayaran semula sangat tinggi dan ia boleh memberi kesan ketika kegawatan ekonomi.
Sehubungan itu, katanya BNM perlu memastikan rebat yang diberikan adalah besar kepada peminjam yang gagal membayar supaya pengurangan pinjaman dapat diberikan secara adil tanpa campur tangan bank yang berat sebelah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment