Wednesday, October 21, 2009

Malaysia mampu ungguli teknologi perbankan Islam

Malaysia mampu ungguli teknologi perbankan Islam
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
MALAYSIA berpotensi muncul sebagai pusat teknologi penyelesaian kewangan Islam jika syarikat teknologi tempatan meningkatkan keupayaan masing-masing dan meraih peluang yang terbuka luas susulan pengiktirafan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam global.

Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Senator Tan Sri Amirsham A Aziz, berkata ketika ini penyertaan syarikat tempatan dalam bidang itu adalah amat kurang meskipun Malaysia adalah antara negara yang memiliki kepakaran dalam kewangan Islam.

“Kurangnya penyertaan syarikat teknologi tempatan menyaksikan banyak syarikat teknologi Eropah dan India membangunkan dan menjual penyelesaian perbankan Islam dan takaful kepada bank dan syarikat insurans global termasuk di negara ini.




“Kita perlu mempunyai lebih banyak syarikat teknologi tempatan yang berupaya menawarkan teknologi penyelesaian di dalam kewangan Islam membabitkan takaful, pengurusan sukuk dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran dokumen kerjasama antara iA Group Sdn Bhd (iA) dengan Callatay & Wouters (C&W) di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif iA, Datuk Dr Hamzah Kassim serta Ketua Jualan dan Pemasaran C&W, Johan Marten.

iA adalah syarikat perunding, pengurusan teknologi dan penyumberan luar, manakala C&W pula adalah penyedia penyelesaian.

Amirsham berkata, banyak syarikat teknologi tempatan ketika ini memiliki rekod baik dalam menyediakan sistem penyelesaian perbankan konvensional.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak memperluaskan aktiviti masing-masing dalam membangunkan sistem perbankan Islam.

“Arah aliran pada masa depan memerlukan teknologi maju yang melangkaui sistem dan asas program biasa. Susulan itu syarikat tempatan perlu meningkatkan keupayaan ke tahap tertinggi seperti membangunkan harta intelek (IP) bagi penggunaan inovatif di dalam sistem kewangan dan perkhidmatan,” katanya.

Amirsham berkata, untuk menjayakan pelan transformasi ekonomi daripada negara berpendapatan sederhana rendah kepada berpendapatan tinggi, syarikat tempatan perlu berani meningkatkan nilai dan meluaskan pasaran masing-masing.

Katanya, syarikat itu perlu melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meraih pertumbuhan stabil dalam jangka sederhana dan panjang,

Amirsham berkata, kerjasama yang terjalin antara iA dan C&W adalah antara landasan bagi syarikat tempatan memperluaskan perkhidmatan dan meningkatkan kepakaran dalam penyelesaian sistem perbankan Islam.

Kerjasama itu membabitkan pengenalan penyelesaian bernilai RM100 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

No comments: