Tuesday, October 6, 2009

Dunia perlu sistem kewangan baru

3 cabaran besar dihadapi bersama


NAJIB ketika berucap pada Perhimpunan Agung Unesco Ke-35 di Paris, malam tadi.


Malaysia bersedia sebagai jambatan hubung semua budaya di dunia

TERLEBIH dulu, saya ingin menyampaikan salam mesra seluruh rakyat Malaysia kepada semua anggota perwakilan dan pemerhati pada Persidangan Agung Unesco Ke-35 ini. Bagi pihak rakyat serta Kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Unesco dan Ketua Pengarah Unesco, Koichiro Matsuura kerana memberi peluang dan penghormatan kepada saya berucap pada Persidangan Agung ini, sesuatu yang julung kali diberi kepada seorang Perdana Menteri Malaysia.

Secara peribadi, dewan pertubuhan yang mulia ini telah menyingkap kembali kenangan lama, hubungan persahabatan dan semangat setia kawan yang terjalin sewaktu saya berkhidmat dalam Lembaga Eksekutif Unesco sedekad lalu.

Ia adalah saat-saat yang sungguh manis dan penuh dengan nostalgia, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bahawa Allahyarham ayahanda saya, Tun Abdul Razak (Hussein), yang pernah menjadi Menteri Pelajaran pada era pra-kemerdekaan Malaysia dan Perdana Menteri kedua Malaysia, telah memainkan peranan penting dalam keputusan Malaysia menyertai Unesco lebih lima dekad lalu.




Sukacita dimaklumkan bahawa persidangan ini bakal menyaksikan satu peristiwa yang penuh bersejarah. Ibarat kata, siling kaca yang sudah wujud sejak sekian lama, akhirnya akan berderai di institusi ini, yang begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan persamaan hak bagi manusia, apabila ia akan secara rasminya memilih Elrina Bokova sebagai wanita pertama menjadi Ketua Pengarahnya. Saya mendoakan kejayaan beliau dan amat yakin beliau mampu meneruskan tugas mulia mereka yang telah menyandang jawatan itu sebelum ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah sedia ada, Koichiro Matsuura, yang bakal meninggalkan jawatannya, atas kepemimpinan cemerlang beliau selama ini. Seperti yang kita semua sedia maklum, sepanjang perkhidmatan beliau, Matsuura berjaya meningkatkan prestasi Unesco dan meletakkan asas kukuh bagi usaha pembaharuan organisasi ini.

Hari ini, ketika kita berdepan dengan jurang yang semakin melebar antara budaya dan pegangan agama, awan hitam kemelesetan ekonomi global, tragedi yang menusuk hati akibat perubahan iklim, kita tidak boleh lagi berdiam diri dalam zon selesa. Pilihan yang ada di hadapan kita bukanlah unilateralisme atau isolationisme. Perjalanan yang bakal kita lalui mestilah bersifat lebih imaginatif dan inklusif daripada segi kerjasama global.

Pada asasnya, terdapat tiga cabaran besar yang kini mendepani komuniti antarabangsa, yang perlu dihadapi dan diatasi secara bersama. Pertama, cabaran dalam memastikan wujudnya keamanan berkekalan, keamanan yang adil dan saksama, bukan keamanan untuk zaman kita saja, tetapi keamanan untuk setiap masa. Keamanan yang diwujudkan atas sikap kerelaan dan bukan yang dipaksakan secara hegemoni melalui ketakutan dan paksaan.

Keamanan seperti ini hanya boleh dicapai jika kita bersedia untuk mendekatkan diri antara satu sama lain melalui dialog. Teringat saya kepada pandangan bernas ahli agama dan falsafah terkenal Jerman, Profesor Hans Kung, apabila beliau berkata: "Tidak akan wujud keamanan di dunia jika tidak wujud keharmonian dalam kalangan agama dan budaya yang menjurus ke arah itu; dan tidak akan wujud keharmonian antara agama jika tidak ada dialog sesama mereka."

Sesungguhnya, kejahilan, ketakutan, prejudis dan sikap ambil mudah yang tidak ditangani dengan sewajarnya, adalah tempat yang subur untuk membiakkan kebencian, sikap melampau, sikap mudah menyerah pada nasib dan sikap fanatik, iaitu punca bagi semua penyakit yang melanda dunia hari ini.

Malaysia bersedia memainkan peranannya dalam mengatur dialog antara budaya. Kedudukan geografi dan legasi sejarah yang dimilikinya, menjadikan Malaysia begitu strategik untuk bertindak sebagai jambatan bagi menghubungkan semua budaya utama di dunia. Tawaran ini dibuat bukan untuk sedap didengar saja, tetapi berdasarkan kepentingan dua hala dan kepentingan bersama kita. Lagi pun, adalah suatu hakikat bahawa suasana aman secara dalaman dan luaran adalah pra-syarat bagi pembangunan sesebuah negara.

Sebenarnya, bagi rakyat Malaysia, dialog antara budaya adalah suatu hakikat yang wujud dalam kehidupan harian mereka. Melalui kebijaksanaan mereka ketika mula-mula mencapai kemerdekaan, pengasas negara kami telah menjadikan integrasi, bukannya asimilisasi sebagai dasar negara bagi menangani hubungan kaum dan membentuk sebuah negara baru. Pemilihan yang dibuat dengan penuh kesedaran ini, pada mulanya menerima kritikan hebat, sebelum kesudahannya, ia terbukti sebagai suatu langkah tepat oleh sejarah.

Kami telah membuat perubahan daripada semata-mata menerima kepelbagaian kepada penerimaan, dan akhirnya, kini mercu set minda ini menerima kepelbagaian sebagai suatu sumber kekuatan negara, bukan sebagai suatu punca sengketa. Inilah yang menjadi tunjang falsafah 1Malaysia yang saya perkenalkan ketika mula-mula memegang jawatan April lalu. Kami yakin terhadap falsafah ini, yang berasaskan sikap saling mempercayai dan saling menghormati antara semua komuniti; harapan saya bagi Malaysia ialah 1impian, 1bangsa dan 1negara.

Saya yakin ia adalah formula yang betul, bukan saja bagi mewujudkan keharmonian nasional, tetapi juga sesuatu yang tepat ke arah meningkatkan keamanan serantau dan global. Justeru, adalah sesuatu yang logik, falsafah nasional ini diperluaskan sebagai konsep 1Rantau dan akhirnya, 1Dunia. Di peringkat serantau, 40 tahun lalu, Asia Tenggara adalah rantau yang dilanda pelbagai sengketa. Hari ini, secara umumnya, ia menjadi rantau yang aman dan stabil. Jelas sekali, budaya keamanan yang meresap di seluruh rantau ini melahirkan peluang bagi negara anggotanya untuk memberi fokus terhadap agenda pembangunan nasional masing-masing.

Budaya keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan terhasil daripada keunikan semangat serantau yang wujud dalam Asean, yang berasaskan dialog serta pembabitan secara konstruktif di dalam dan di luar rantau berkenaan. Cabaran kedua ialah dalam mewujudkan susun atur kewangan global yang baru. Tempoh 50 tahun lalu menyaksikan kemenangan besar bagi ekonomi pasaran melalui perancangan secara berpusat.

Perubahan yang berlaku sekarang berpunca daripada kesan meluas dan merata, yang wujud daripada globalisasi yang berkembang dengan pesat, yang mengancam pelbagai sikap dan respons, daripada keghairahan yang tidak terkendalikan, hinggalah kepada penolakan secara total. Selain itu, penolakan terhadap globalisasi nampaknya diperkukuhkan lagi oleh kemelut kewangan global semasa, yang berpunca daripada kelemahan ketara yang wujud dalam kedudukan kewangan global.

Jelas sekali, ia adalah cerminan daripada kejayaan dan kesan globalisasi, sementara gegaran daripada krisis kewangan Asia satu dekad lalu telah melanda seluruh rantau berkenaan, manakala kemelesetan kewangan semasa memberi kesan kepada semua negara, tanpa sebarang pengecualian. Di tengah-tengah keriuhan perbahasan di seluruh dunia sekarang, kita, sebagai pembuat dasar, tidak boleh lagi leka berhujah secara abstrak atau bermewah dengan masa. Kita perlu menghadapi realiti. Globalisasi tidak boleh diundur semula.

Jarum jam tidak boleh diputar kembali dan kemajuan pula tidak boleh dihentikan. Namun demikian, peri perlunya menerima globalisasi tidak membawa bersamanya keperluan mutlak untuk menerimanya secara tanpa syarat. Kita perlu menolak kecenderungan semula jadi untuk berundur ke dalam kepompong sempit nasionalisme dan dasar perlindungan. Sebaliknya, kita perlu menghadapi cabaran ini secara bersemuka dengan berganding bahu untuk mengemudi proses ini ke arah mencapai hasil yang lebih lestari, saksama dan adil.

Bagi memastikan apa yang dihajati ini tercapai, semangat keusahawanan kental mestilah diiringi dengan kesedaran sosial. Ia juga perlu menganjurkan pertumbuhan secara saksama dan mengambil kira kepentingan semua pemegang kepentingan. Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan sistem kapitalis tidak terkawal yang dipacu oleh perasaan tamak haloba, kembali mengganas. Tanpa wujudnya rangka kerja kawal selia yang adil, dunia akan terjerumus ke lembah bencana dan malapetaka.

Oleh itu, adalah penting susun atur kewangan global baru yang akan diwujudkan nanti, memastikan kemakmuran akan dikongsi secara sama rata. Mekanisme yang sewajarnya juga perlu diwujudkan bagi menangani perbuatan memanipulasi sistem berkenaan. Sudah terbukti sebelum ini bahawa banyak pihak menjadi hamba kepada nafsu mengejar kekayaan, hingga sanggup melakukan apa saja, tanpa sebarang keinsafan. Cabaran ketiga ialah mengurus perubahan iklim. Ia adalah cabaran besar bukan saja bagi generasi akan datang, malah juga bagi kita hari ini.

Ketika saya berucap ini, rantau saya dilanda bencana alam dan malapetaka yang amat dahsyat seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, Tsunami di Samoa Barat, taufan di Filipina dan banjir besar di selatan India. Saya ingin mengucapkan rasa simpati kepada penduduk Indonesia, Filipina, India dan Samoa Barat. Tragedi yang menyayat hati ini mengingatkan kita semua betapa rapuhnya dunia yang kita diami ini dan betapa saling bergantungnya kita di dunia ini.

Sidang kemuncak akan datang di Copenhagen Disember ini perlu mencerminkan komitmen dan tindakan kukuh global untuk memulihara beberapa tapak bersejarah sebagai sebahagian daripada warisan dunia. Bagaimanapun, warisan paling berharga yang boleh kita wariskan kepada generasi akan datang ialah bumi ini sendiri; sebuah planet yang menawarkan kehidupan berkualiti bagi manusia hingga ke akhir zaman nanti.

Saya adalah orang pertama yang mengaku bahawa tugas yang ada di hadapan kita sebagai pembuat dasar dan pemimpin untuk memastikan semua cabaran itu dapat dicapai, adalah sesuatu yang bukan mudah untuk dilaksanakan. Bagaimanapun, kita tidak boleh berdiam diri. Kita perlu lakukan apa yang betul, walaupun ia sesuatu yang sukar. Ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi. Ia tidak boleh dibiarkan tidak kesampaian atau tidak diselesaikan.

Ia perlu ditangani secara berdepan oleh masyarakat dunia dengan berbekalkan semangat kesepakatan yang jitu serta matlamat bersama yang lahir daripada hubungan muhibah, dengan berbekalkan pengalaman yang kita sama-sama miliki. Kita tidak boleh gagal kerana ia akan memberi kesan jangka panjang terhadap kelangsungan hidup kita.

Generasi zaman lampau terpaksa membina semula order dunia daripada debu kehancuran sebelum melihatnya dimusnahkan semula oleh sikap tidak ambil peduli dalam kalangan kita yang berkemampuan, tetapi memilih untuk tidak mengambil kesempatan untuk membuat pembaharuan apabila wujud kesempatan.

Akhir sekali, sebagai tanda komitmen ikhlas dan keyakinan mendalam kami terhadap gagasan yang terkandung dalam mandat yang diberi kepada Unesco untuk membawa keamanan dan pembangunan melalui pendidikan, sains, budaya dan komunikasi, saya dengan sukacita mengumumkan hasrat kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Dana Amanah Koperasi Unesco–Malaysia.

Dana ini akan digunakan bagi memperkukuhkan kerjasama Selatan-Selatan bagi pembinaan keupayaan dalam bidang pendidikan dan sains, demi faedah negara-negara paling mundur, negara-negara kepulauan kecil dan bagi menyokong agenda keutamaan Afrika. Kami yakin bahawa pendidikan yang berkualiti hanya dapat diberi oleh guru yang berkualiti juga.

Di Malaysia, kami percaya terhadap prinsip pendemokrasian pendidikan, iaitu akses secara adil kepada pendidikan yang berkualiti dan secara sepanjang hayat. Idea yang diperjuangkan oleh Unesco selama ini. Program terbaru kami ialah memberi penekanan terhadap pendidikan awal kanak-kanak (0 hingga 6 tahun), iaitu asas paling kukuh yang dapat kami berikan kepada seseorang kanak-kanak.

Bagi menyumbang ke arah perkongsian ideal ini dengan negara lain, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa tahun depan, Malaysia akan menyediakan geran permulaan AS$5 juta, diikuti sumbangan AS$1 juta setiap tahun. Program di bawah dana ini akan dilaksanakan melalui perundingan dengan pejabat Serantau Unesco di Bangkok dan Jakarta, Jabatan Keutamaan Afrika dan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia bagi Unesco di Kementerian Pendidikan.

Di bawah inisiatif ini, Malaysia akan menyediakan kemudahan latihan guru bagi peringkat pra perkhidmatan, dalam perkhidmatan, pentadbiran dan pengurusan sekolah. Sejajar dengan ini, kira-kira 300 tempat akan disediakan setiap tahun di semua peringkat.

Ada satu pepatah Melayu lama yang membawa maksud, melalui kerjasama, kita mampu menawan semua puncak gunung, meredah semua lurah dan merentasi semua sungai. Tidak ada halangan yang terlalu tinggi, terlalu dalam atau terlalu luas untuk kita atasi sekiranya kita berganding bahu serta menggembleng fikiran dan tindakan sebagai 1Dunia.

Sekian, terima kasih. - Bernama

No comments: