26 Ogos - Ancaman Krisis Kewangan Baru
KRISIS kewangan semasa dijangka berakhir tahun depan, tetapi satu lagi krisis sistemik dijangka berlaku dalam dekad akan datang sebelum pasaran benar-benar pulih, kata Ketua Pegawai Operasi Principal Global Investors, Barbara McKenzie.
Beliau berkata, risiko krisis dalam dekad baru itu juga dijangka berkaitan kredit yang mungkin diterajui pasaran Amerika Syarikat.
“Krisis ekonomi semasa berkaitan tekanan kredit dan tekanan ini tidak akan benar-benar pulih hingga tahun depan dan perkara ini masih diberikan tumpuan oleh pihak pembuat dasar dan bank pusat.
“Jika inisiatif yang diambil sebelum ini dengan melambakkan kecairan di pasaran dan berharap kredit akan bergerak semula, tetapi banyak petunjuk yang jelas menunjukkan lambakan itu hanya kecairan biasa dan tidak menjana sumber kredit.
“Inilah antara satu daripada risiko dan cabaran besar yang akan dihadapi pihak pembuat dasar dan bank pusat sepanjang tahun depan hingga membawa ke dekad baru termasuk memikirkan satu pendekatan terhadap kredit yang benar-benar boleh memanfaatkan pengguna,” katanya pada taklimat media mengenai hasil kaji selidik yang dikendalikan bersama antara Principal Global Investors, Citi Group, Financial Times dan Create-Research mengenai ‘Masa Depan Pelaburan: Apakah Langkah Seterusnya’ di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir Ketua Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, Datuk Noripah Kamso dan Pengarah Urusan Principal Global Investors (S) Ltd Asia ex Japan, Kirk West.
Kaji selidik itu mendapati 49 peratus daripada responden menjangkakan krisis akan berakhir dalam separuh pertama 2010.
Namun, 25 peratus daripada 225 responden yang terdiri daripada pengurus aset dan dana pencen dari 30 negara berpendapat krisis akan berakhir lebih lewat daripada tempoh berkenaan.
Umumnya, McKenzie berkata, kaji selidik itu memberi petunjuk terhadap satu perubahan tindak tanduk pelabur yang mana mereka tidak akan mengulangi kebiasaan tindakan lama dan lebih berhati-hati.
Dengan kata lain, katanya pelabur akan ‘beli apa yang mereka faham; dan faham apa yang dibeli’.
Selain itu, beliau berkata, pelabur juga dijangka memberi tumpuan kepada produk pelaburan kualiti, ringkas serta selamat dan mereka mahukan pulangan yang diselaras dengan risiko yang konsisten.
Mengenai apakah tumpuan yang akan diberi pembuat keputusan selepas krisis, McKenzie menjangkakan pertimbangan dan tumpuan akan diberikan untuk meningkatkan peraturan terhadap dana lindung nilai dan dagangan derivatif atas kaunter.
Ini kerana, banyak aktiviti daripada kedua-dua pasaran berkenaan yang menyebabkan masalah, tetapi sebab ia berlaku tidak dapat dikesan.
Sumber: Berita Harian
..
Wednesday, December 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment