Tuesday, December 15, 2009

OIC gagal bawa perpaduan dunia Islam: Dr Mahathir

OIC gagal bawa perpaduan dunia Islam: Dr Mahathir


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) gagal membawa perpaduan di kalangan orang Islam kerana kerajaan negara anggotanya lebih mendahulukan kepentingan negara masing-masing dalam membuat sebarang keputusan.

Sebagai sebuah organisasi dianggotai kerajaan, bekas Perdana Menteri berkata, negara anggota OIC mempunyai banyak kekangan dan tidak dapat membuat pertimbangan atas kepentingan agama semata-mata, malah perintah Islam bahawa semua Muslim adalah bersaudara juga 'kalah' kepada kepentingan nasional masing-masing.

"Satu masalah OIC ialah ia adalah organisasi kerajaan negara anggota. Kerajaan mempunyai banyak kekangan dan mereka tidak benar-benar bebas membuat keputusan.




"Kepentingan negara didahulukan, bukan agama atau pun persamaan agama yang mendapat keutamaan. Hubungan kerajaan dan kumpulan lain juga mempengaruhi tindakan serta keputusan kerajaan dan ini sering bertentangan perpaduan Muslim," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk 'Seruan Untuk Perpaduan' pada Konvensyen Perpaduan Muslim Antarabangsa Kedua anjuran Yayasan Ramadan dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Perdana Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Hadir sama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengerusi Yayasan Ramadhan, Muhammad Umar; Naib Pengerusi Forum Muslim Britain, Shaykh Ahmad Nisar Baig Qadiri dan Imam Sayid Hassan Al-Qazwini dari Iraq/Amerika Syarikat. Konvensyen dua hari itu disertai kira-kira 500 perwakilan dari lebih 20 negara.

Dr Mahathir juga berkata, banyak negara ahli OIC kini bukan benar-benar negara Islam, malah perwakilan yang menghadiri persidangan juga bukan Muslim, manakala percanggahan yang sering timbul antara negara ahli OIC jelas menunjukkan ketiadaan perpaduan di kalangan mereka.

Justeru, beliau mencadangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara Islam memainkan peranan menjana perpaduan di kalangan umat Islam, seperti kejayaan gerakan menentang pencemaran alam sekitar sehingga perjuangan dan suara mereka didengar kerajaan seluruh dunia, walaupun pertubuhan itu tidak mempunyai kuasa.

"Umat Islam kini berpecah kepada banyak mazhab hingga sering berperang sesama mereka dan saling berbunuhan," katanya.

No comments: