Tuesday, December 15, 2009

Kempen amal bakti MasterCard BH Petrol

Kempen amal bakti MasterCard BH Petrol

MASTERCARD Worldwide mensasarkan sekurang-kurangnya 30,000 transaksi akan dilakukan menerusi penggunaan MasterCard PayPass sepanjang berlangsungnya kempen amal dengan usaha sama BH Petrol.

Naib Presidennya dan Pengurus Kanan Negara (Malaysia dan Brunei), Jim Cheah berkata, kempen dengan kerjasama BHPetrol itu akan berlangsung antara 15 Disember dan 15 Januari 2010.

Katanya, setiap RM1 daripada transaksi itu juga akan didermakan kepada Yayasan Sindrom Down Kiwanis dalam usaha memenuhi tanggungjawab korporat sosial.

“Sempena sambutan ulang tahun kelima MasterCard, kami bergabung dengan BHPetrol bagi menjayakan kempen yang berlangsung ini. MasterCard PayPass memang mudah digunakan pada bila-bila masa di mana-mana stesen minyak BHPetrol.

“Ia juga sekali gus membolehkan pemegang kad membuat urus niaga mudah dengan hanya menyentuh kad pada terminal khas kad MasterCard PayPass yang disediakan,” katanya pada majlis pelancaran kempen amal di Petaling Jaya, semalam.

Cheah berkata, dengan adanya kempen amal seperti ini ia dapat menyumbang kepada kebajikan kanak-kanak berusia hingga enam tahun yang menghidapi Sindrom Down.

Menurutnya, MasterCard juga komited untuk menyediakan produk pembayaran inovatif kepada pemegang kad yang sememangnya direka khas bagi melengkapkan lagi keperluan hidup masyarakat kini.

Selain itu, PayPass turut memberi kemudahan pembayaran alternatif wang tunai bagi sebarang pembelian, tanpa perlu menggunakan cara lama ataupun menandatangani sebarang resit.

No comments: