Tuesday, December 15, 2009

Paypal perkenal dua jenis khidmat kewangan

Paypal, anak syarikat eBay Inc yang berpusat di Amerika Syarikat memperkenalkan 2 khidmat barunya di Malaysia iaitu pembayaran dalam Ringgit Malaysia (RM) dan ciri pemindahan wang daripada akaun paypal terus ke akaun wang di Malaysia untuk pengeluaran tunai.

Kedua-dua perkhidmatan baru ini memberi pilihan kepada PEMBELI dan PENJUAL untuk membayar serta menerima bayaran dalam matawang tempatan bagi urus niaga domestik, khususnya di kalangan syarikat yang terbabit dalam perniagaan internet antarabangsa.

Pengurus Besar Paypal bagi India dan Asia Tenggara, Mario Shiliashki, berkata, paypal menyediakan akses cepat dan mudah kepada penjual tempatan dan peniaga yang terbabit dalam perniagaan internet untuk menguruskan perniagaan syarikat.

Katanya, langkah itu bertujuan memudahkan peniaga melaksanakan perniagaan internet mereka dalam persekitaran yang lebih selamat, diyakini dan komprehensif.

“Menerusi perkhidmatan mengeluar wang di bank, kami yakin akan membantu meringankan beban anggota Paypal Malaysia, sekaligus sebagai langkah pengembangan operasi syarikat di sini.

“Ia bukti pelaburan kami di seluruh Asia, sebagai komitmen untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif yang yang lebih selamat dan mudah di Malaysia.

Paypal adalah kaedah pembayaran wang dalam talian (online) yang cepat, selamat dan membantu dalam urusan pembayaran secara online.

Menerusi perkhidmatan ini, pemegang akaun Paypal berupaya menghantar wang tanpa mendedahkan maklumat kewangan mereka, yang turut disokong kemudahan pembayaran ke dalam akaun atau kad kredit.

Ia sekaligus membolehkan anggota Paypal yang melaksanakan perniagaan internet antarabangsa menggunakan khidmat mengeluar wang di bank tempatan bagi memperolehi tunai Ringgit Malaysia dan membantu meningkatkan aliran tunai dalam urus niaga harian mereka.

Berita Harian – Selasa 15 Disember 2009 – Ruangan Ekonomi – M/S 25

No comments: