Tuesday, August 11, 2009

Kewangan Islam instrumen global

Kewangan Islam instrumen global
Laporan oleh Kamarulzaidi Kamis dan Azli Ayob
bhbiz@bharian.com.my ( 12 Ogos 2009) EKONOMI
SEKTOR kewangan Islam kini tidak lagi terhad kepada umat Islam, tetapi masyarakat seluruh dunia, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda yang juga Duta Kewangan bagi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) bertitah, industri kewangan Islam sudah menjadi instrumen pasaran global sebenar membabitkan penyertaan menyeluruh pelabur dalam rang-kaian pelaburan alternatif itu meliputi sukuk, amanah saham, dana komoditi, dana didagangkan di bursa (ETF), dana amanah hartanah (Reits), takaful, derivatif berlandaskan syariah dan dana lindung nilai.

“Peserta pasaran dalam industri kewangan Islam kini turut meliputi bank yang mempunyai jendela perbankan Islam, institusi kewangan berlandaskan syariah, broker saham, pengurus dana dan pengendali takaful, manakala pusat kewangan yang lebih stabil pula sedang berusaha menjadi hab global bagi kewangan Islam,” titahnya pada Simposium Pasaran Modal Islam di Kuala Lumpur, semalam.



Baginda bertitah, perkembangan terbaru menunjukkan kemungkinan penubuhan bank Islam di Perancis, penerbitan buku mengenai kewangan Islam dalam bahasa Itali, penubuhan Reits berlandaskan syariah di Australia dan timbulnya berita berhubung jangkaan terbitan sukuk dari United Kingdom, Australia dan Korea.

Titahnya, apabila industri itu semakin berkembang, akan wujud lebih banyak permintaan daripada kalangan pelabur bukan Islam dan penerbit pula akan memainkan peranan lebih besar dalam industri itu.

“Di Malaysia misalnya, permintaan terhadap produk berlandaskan syariah di kalangan bukan Islam adalah setanding permintaannya daripada golongan Islam,” titahnya.

Pada peringkat global pula, baginda bertitah, ada rangkaian penerbit produk berlandaskan syariah yang pelbagai merangkumi Bank Dunia, IFC (Pusat Kewangan Islam), negeri persekutuan Anhalt-Saxony di Jerman, Aston-Martin dan Shell.

“Mereka ini kini menjadi peneraju terbitan sukuk, dan senarai ini terus bertambah,” titahnya.

Baginda bertitah, antara matlamat penting yang perlu dicapai industri kewangan Islam adalah menyepadukannya ke dalam sistem kewangan global, manakala salah satu sasaran penting kewangan global seharusnya adalah untuk membuka pintunya kepada kewangan Islam.

“Kita semua mesti bekerja secara bersama untuk membina semula sifat amanah dalam sektor kewangan ini. Kewangan memerlukan amanah, dan kita sudah mewujudkannya. Amanah ini terdiri daripada satu set elemen universal iaitu kejujuran, keadilan dan kejelasan, yang boleh ditemui dalam semua agama,” titahnya.

Dalam aspek itu, Raja Nazrin bertitah, sudah tiba masanya kewangan Islam membalas jasa sektor kewangan konvensional yang meminjamkan ciri-cirinya dari segi penawaran produk.

“Memandangkan kewangan konvensional mengajar kewangan Islam bagaimana menyeimbangkan portfolio dan menguruskan dana, Beta percaya kewangan Islam kini boleh membalas jasa dengan meminjamkan kepada kewangan konvensional prinsip tadbir urus korporat dan tanggungjawab yang baik,” katanya.

No comments: