Tuesday, August 11, 2009

Kutipan zakat cecah RM1.03b

Kutipan zakat cecah RM1.03b( BHarian-National 12 Ogos 2009)

KUALA LUMPUR: Kutipan zakat seluruh negara mencecah RM1.03 bilion tahun lalu, tertinggi dalam sejarah dan kali pertama melepasi angka satu bilion berbanding RM830 juta pada 2007, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kesedaran umat Islam mengenai tanggungjawab terhadap menunaikan rukun Islam ketiga itu, dan pelaksanaan Bulan Zakat Kebangsaan yang julang kali dianjurkan tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu juga disebabkan pelbagai kempen yang dijalankan, disamping wujudnya kepercayaan terhadap institusi zakat yang mengagihkan kutipan kepada golongan asnaf berkelayakan di negara ini.



"Sebab itu kini kita adakan pelbagai kempen. Kita mahu umat Islam faham, bahawa apabila berzakat, ia akan membantu menambah rezeki mereka, jadi tidak boleh mengelak dan bagi alasan kerana zakat adalah wadah bantuan untuk umat Islam yang memerlukan.

"Apabila sudah diberikan pemahaman, jadi tidak susah lagi untuk umat Islam menunaikan rukun ini dengan ikhlas." katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Seminar Zakat Kebangsaan 2009 bertemakan 'Zakat: 1 Kewajipan, 1 Juta Harapan' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Datuk Dr Sohaimi Mohd Salleh dan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata), Abd Aziz Abu Bakar.

Pada majlis itu, Mashitah turut menyampaikan anugerah Tokoh Usahawan Asnaf kepada bekas penerima zakat, iaitu Rosnani Kassim Loh dan Mohd Tohid Sidek yang kini berjaya dalam bidang masing-masing hasil daripada perniagaan yang dibangunkan dengan wang zakat diterima.

Mengulas kejayaan dua bekas penerima zakat itu, Mashitah berkata, kejayaan mereka adalah sesuatu yang membanggakan kerana kini tidak lagi menerima bantuan sebaliknya sudah berkemampuan menunaikan tanggungjawab berzakat bagi membantu golongan yang lebih memerlukan.

No comments: