Unicorn International Islamic Bank tinjau peluang
UNICORN Internantional Islamic Bank Malaysia Bhd, anak syarikat Unicorn Investment Bank, syarikat pelaburan berpangkalan di Bahrain, sedang meninjau peluang untuk membeli kepentingan dalam sekurang-kurangnya sebuah institusi kewangan Islam di Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Vaseehar Hassan Abdul Razack, berkata mandat diberikan syarikat induk Unicorn Internantional Islamic Bank Malaysia ialah untuk membeli kepentingan dalam bank di Malaysia, tidak mengira sama ada ia milik tempatan atau bank asing.
Sasarannya untuk membeli kepentingan antara 40 peratus hingga 70 peratus dengan anggaran pelaburan antara AS$100 juta hingga AS$200 juta.
Kami berharap dapat mencari bank yang sesuai dalam tempoh antara enam hingga 10 bulan ini, katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanya, sasaran pegangan ekuiti yang agak tinggi itu kerana adalah tidak berbaloi untuk mendapatkan kurang daripada kadar itu kerana proses pengambilalihan itu sendiri termasuk mencari bank sesuai bukan sesuatu yang mudah.
Unicorn Investment Bank sebelum ini pernah gagal mengambilalih kepentingan dalam Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) kerana tidak mencapai persetujuan dari segi harga.
Ketika ini, Vaseehar berkata, Unicorn International Islamic Bank berusaha memantapkan perniagaannya yang baru beroperasi kurang dari dua tahun di negara ini selepas mendapat lesen di bawah Inisiatif Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) pada Januari 2008.
Lesen itu adalah untuk mengendalikan aktiviti urus niaga selain dalam mata wang ringgit.
Katanya, tumpuan diberikan untuk mengembangkan unit perbendaharaan yang sebahagian besarnya mengendalikan perniagaan pasaran wang berlandaskan Syariah.
Unit berkenaan ketika ini menyumbang 50 peratus kepada pendapatan institusi kewangan itu.
Produk yang ditawarkan adalah deposit menggunakan konsep ‘Wakalah’ atau wakil (agensi) yang hampir sama dengan konsep Murabahah di pasaran runcit.
Bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang juga terdiri daripada syarikat korporat dalam dan luar negara, Vaseehar berkata, Unicorn membangunkan produk tukaran hadapan berasaskan konsep Wa’ad yang berfungsi sebagai pelindung nilai.
Beliau memberi jaminan produk itu diperkenalkan tidak lama lagi.
Vaseehar menjelaskan, pengenalan produk Perbendaharaan berlandaskan Syariah memberi sedikit cabaran kepada Unicorn International Islamic Bank kerana sebahagian besar institusi Islam dunia, termasuk di Asia Barat belum mengiktiraf perniagaan itu yang kebanyakannya dikendalikan dalam sistem konvensional.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment